ALIRAN PEMIKIRAN UMAT ISLAM MASA KINI

 

 

              Pada umumnya di kalangan umat Islam terdapat berbagai aliran pemikiran yang berpunca daripada pandangan pentafsiran berbeza terhadap sesuatu perkara. Ada yang mengkategorikan aliran pemikiran itu dengan mengklasifikasikan sebagai tradisional, reformis dan modenis. Memang diakui bahawa penamaan terhadap aliran-aliran ini tidak dipersetujui oleh banyak pihak. Bagaimanapun untuk perbincangan, kita melihat beberapa aliran pemikiran yang dominan.

 

i.                    Aliran yang membekukan Islam ( jumud ).

             Pemikiran ini ialah bahawa Islam itu sebagai agama yang tidak berubah dalam semua perkara. Mereka menafikan sebarang bentuk ‘flexibility’ walaupun terhadap perkara yang diharuskan. Dengan itu ia tidak menerima sebarang bentuk perubahan termasuk dari segi perlaksanaan. Di antara yang mndokong aliran ini ialah mereka yang berpegang secara mutlak kepada salah satu daripada mazhab yang empat. Golongan ini biasanya tidak akan menerima apa-apa pandanga dengan mengikut mazhab-mazhab lain dalam apa jua keadaan. Contohnya bagi mereka yang berpegang kepada mazhab Hanafi, maka semua pandangan mazhab lain walaupun di kalangan ahli sunnah wal jamaah tetap di tolak.

           Satu lagi kumpulan termasuk dalam kategori golongan yang membekukan. Mereka ialah yang berpegang kepada Al Quran dan Sunnah semata-mata. Mereka menolak semua pandangan ulamak termasuk menafikan mazhab-mazhab. Golongan ini berpendapat bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak mempunyai mazhab. Bahkan yang ditinggalkan olah baginda ialah Al Quran dan Sunnah.

 

ii.                  Aliran pemikiran yang mempermudahkan Islam.

             Golongan ini berpendapat bahawa Islam itu ajaran yang terlalu mudah. Oleh kerana ia mencakupi dunia dan akhirat maka semua perkara dilihat sesuai dengan Islam tanpa memperdulikan soal perincian hukum-hukumnya. Amat malang lagi golongan ini mentafsirkan Islam mengikut nafsu dan pemikiran mereka semata-mata. Di antara contoh-contoh aliran ini ialah golongan rasional. Akibatnya muncul masyarakat Islam yang mengislamkan sosial, kapitalis, komunis dan sebagainya. Maka lahirlah kapitalis Islam, sosialis Islam dan komunis Islam. Dalam kata lain mereka menganggap unsur- unsur yang disebutkan di atas ada di dalam Islam dan sesuai dengan ajaran Islam. Hakikatnya ini merupakan satu kesilapan besar, sesat dan menyesatkan. Islam perlu kepada kedua-dua perkara iaitu akal dan wahyu.manusia tidak dapat melaksanakan agama tanpa akal dan akan sesat jika tiada wahyu.

 

iii.                Pemikiran yang mengagih-agihkan Islam.

             Aliran pemikiran ini ialah satu pandangan bahawa Islam itu hanya berkaitan dengan perkara kerohanian dan ibadat semata-mata. Manakala perkara yang bersangkutan dengan kehidupan dunia seperti politik, urusan kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya bukan dari urusan agama. Contoh kumpulan ini ialah mereka yang berfahaman sekular atau sekularis. Pemikiran mereka melihat Islam itu ibadat sahaja atau akidah sahaja tanpa ibadat atau akhlak. Ini adalah antara pengaruh golongan modenis barat yang membahagikan kehidupan ini kepada dua keadaan- kehidupan beragama dan kehidupan yang tidak berasaskan agama pada situasi atau tempat yang lain. Hakikat ini pernah dibayangkan oleh Rasulullah bahawa akan ada umat Islam yang beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petangnya. Bermakna mereka beranggapan antara kebajikan dan ibadat tidak akan bercampur dengan maksiat dan kekufuran.

 

iv.                Aliran pemikiran Islam yang syumul.

             Pemikiran ini merupakan yang benar dan terbaik kerana sewajarnya Islam itu merangkumi seluruh aspek hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan dengan seluruh makhluk. Demikian juga faktor kesepaduan dan keseimbangan di antara rohani dan jasmani atau fizikal dan spiritual. Dalam hal ini perlu diambil kira semua aspek kehidupan denagn nilai-nilai agama dalam menuju pembentukan insan kamil.

             Justeru itu pendekatan terbaik ialah denagn tidak mempersempitkan agama dalam perkara ibadat sahaja dan juga tidak terlalu longgar sehingga tiada sempadan langsung. Sedangkan prinsip-prinsip utama atau asas agama itu digariskan oleh Al Quran dan Sunnah sebagaimana juga yang dinyatakan oleh hukum syarak. Ajaran agama tidak dapat diimplimentasikan tanpa kebijaksanaan akal. Jikalau berpegang kepada akal sahaja tanpa bimbingan wahyu, manusia akan sesat dan juga tidak akan selamat di dunia mahupun di akhirat.

 

 

 

 

                                                                               Dipetik dari rencana oleh Zulkarnain Yusof

                                                                               Majalah MUSLIMAH