KE MANA HALATUJU KEPIMPINAN MAHASISWA?

 

 

             Kronologi gerakan kepimpinan mahasiswa di Malaysia, menjanjikan satu kupasan yang menarik jika diulas dan ditinjau secara mendalam, meliputi pelbagai aspek yang mendasarinya. Hal ini kerana perubahan yang berlaku dalam iklim pendidikan dan senario sosio-ekonomi politik negara, sedikit sedikit sebanyak membawa impak ketara yang cukup besar nilainya kepada pergolakan politik kampus. Awal kurun ini, kepimpinan di menara gading, mula menampakkan sumbangannya dan sesetengahnya pula boleh dipersoalkan akan kewujudannya.

 

           Kita bukanlah mahu kepimpinan mahasiswa di IPT mengikut apa yang pernah berlaku di awal 70 an. Di kala itu, agenda sosial seperti gejala kemiskinan, buta huruf, dan perjuangan bahasa kebangsaan menjadi agenda pokok yang mewarnai citra perjuangan mereka. Apa yang kita mahu ialah satu janaan pemikiran dalam bentuk order baru kepimpinan mahasisiwa yang membolehkan universiti mengembalikan kegemilangan sebagai tapak mulanya mencanai pemimpim-pemimpin berkelas. Justeru, satu reformasi menyeluruh, meliputi gerakan revolusi kepimpinan perlu difikirkan oleh semua pihak yang terlibat. Ini termasuklah para mahasiswa, pihak pentadbiran dan pengurusan universiti, pensyarah dan kerajaan.

 

         Kepimpinan mahasiswa di universiti boleh ditinjau dari pelbagai paras dan prioriti, daripada yang paling gah dan dihormati hinggalah kepada serendah-rendah peringkat yang kadangkala sekadar menjadi pak turut atau orang suruhan sahaja. Kepimpinan pada peringkat Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP ) atau Majlis Perwakilan Mahasiswa ( MPM ) merupakan badan induk yang seharusnya menjadi penaung dan penyelamat kepada persatuan-persatuan dan jawatankuasa-jawatankuasa pelajar yang lain. Organisasi-organisasi bawahan pula merupakan satu entiti yang boleh berdiri dengan sendiri dan juga boleh menegak terus kepada badan induk MPP atau MPM . Penggabungan secara kerjasama berterusan akan menjanjikan satu pengurusan kepimpinan mahasiswa yang sistematik. Itu secara teorinya. Nampak mudah dan relevan. Namun apa yang berlaku setiap entiti yang telah terbentuk, akhirnya cuba mengemudikan perjuangan mereka secara solo,dengan matlamat dan wawasan yang tersendiri. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

 

            Pengalaman mendiami universiti tempatan dan melihat bagaimana corak corak kepimpinan dibentuk merupakan satu pengalaman ngeri lagi memualkan. Bukan sahaja mahasiswa tidak tahu agenda apakah yang perlu didisi dengan title kepimpinan tersebut, malah perjuangan mereka merupakan imej bayangan bagi kelompok tertentu yang menjadi tulang belakang. Nada kepimpinan yang dilaguakan hambar dan tidak menoton, tidak mencermikan idea yang konstruktif dan boleh diketengahkan secara kolektif apa lagi hendak dikormesilkan. Kebanyakan mahasisiwa yang terjun ke dalam dunia kepimpinan ini , biasanya didorong oleh faktor-faktor berikut, yang telah menjadi ritual sejak beberapa tahin kebelakangan ini. Faktor-faktor tersebut adalah benar berdasarkan pengamatan menyeluruh terhadap dimensi kepimpinan mahasiswa iaitu:

1.            Terhadnya peluang untuk mendiami kolej-kolej pelajar di dalam kampus menyebabkan mereka mmilih bidang kepimpinan sebagai dalang ganti. Universiti lebih memberikan perhatian kepada pelajar yang aktif dalam kepimpinan, kerana pelajar yang terlibat penting untuk membantu universiti dalam membangunkan sahsiah dan pengurusan pelajar dan universiti keseluruhannya. Pelajar yang mendiami pucuk kepimpinan sebegini akan melakukan kerja-kerja yang paling minimum untuk membolehkan mereka kekal di dalam kolej universiti. Projek-projek yang dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

2.            Kebanyakan pelajar yang menyertai bidang kepimpinan juga merupakan pelajar taun pertama atau mereka yang baru bermula menjejakkan kaki ke universiti. Ada banyak faktor mengapa mereka ini mengambil langkah tersebut. Pertama, mereka masih terbawa-bawa dengan jiwa kepimpinan semasa di sekolah menengah, dan ingin pula meneruskan pada peringkat yang lebih tinggi, atas perasaan ingin mencuba atau inkuiri. Kedua, mereka ini dimomok-momokkan dengan terhadnya peluang untuk mendiami kolej pelajar dan tidak sanggup untuk duduk di luar kampus. Ketiga pemikiran mereka mengenai tipu muslihat dan cabaran hidup di universiti masih muda lagi, justeru mereka senang diracuni golongan senior untuk menceburkan diri dalam bidang kepimpinan, dengan alasan untuk membina pasukan pelapis. Pujukan yang dilakukan ( dan kebanyakan pemimpin memang terdiri daripada mereka yang pandai teknik pujukan, psikologi dan perang sarafnya ) akhirnya akan ‘memperdayakan’ mereka juga, walaupun terkadang mereka menyerahkan kerelaan itu bukan dengan ikhlasnya.

3.            Budaya kepimpinan mahasiswa yang membentuk kroni dan team tertentu, walaupun kita tahu bahawa kepimpinan di peringkat universiti tidak menjanjikan ganjaran dalam bentuk projek mewah dengan pulangan berjuta-juta Ringgit. Apa yang diperhatikan dari setahun-ke setahun, apabila seseorang itu berminat untuk menceburi bidang kepimpinan, maka dia akan cuba mempengaruhi rakan-rakannya yang lain untuk turut sama. Jika penurutan ini adalah dengan keikhlasan dan semangat kepimpinan yang jitu, tidak mengapa. Tetapi jika sekadar untuk menyedapkan pihak-pihak tertentu, bagaimana? Pelajar yang tidak berminat dalam dunia kepimpinan akan dibuang jauh dari kroni mereka, ironinya seperti pemencilan ahli-ahli politik pula! Ada juga fenomena para pelajar terlebih dahulu berbincang untuk menentukan perebutan kerusi –kerusi tertentu. Nampaknya budaya kepimpinan di universiti menjadi semakin menarik dan kompleks.

 

       Untuk membentuk gagasan kepimpinan yang cemerlang, seharusnya mahasiswa yang menceburkan diri dalam bidang tersebut berfikir, apakah yang sebenarnya mereka cari dalam dunia kepimpinan tersebut? Nama, pangkat, glamor atau perjuangan itu ikhlas, membentuk keperibadian unggul atau sekadar memenuhi kuota masa belajar di universiti. Ini kerana jika kita tidak memikirkan secara serius mengenai tindakan yang kita ambil, kita sebenarnya akan membina jerat untuk diri sendiri. Jika kita tidak mempunyai matlamat yang jelas, baik ditinggalkan sahaja dunia kepimpinan itu.

 

       Seperkara lagi ialah mengenai kredibiliti pemimipin-pemimpin ini. Kita bukanlah berharap mereka ini menjadi seorang pemimpin yang benar-benar ‘perfect’, tetapi sikap yang ditunjukkan oleh mereka ini mencerminkan ketidakupayaan mereka menjadi pemimpin yang benar-benar diharapkan oleh para mahasiswa. Sebagai contoh ada antara mereka ini hanya berminat untuk berinteraksi dengan krono-kroni mereka sahaja, malah ada yang hanya membuka peluang kepada kroni-kroni mereka untuk menyertai program-program seperti khidmat masyarakat. Jika adapun hanya sekadar tempelan sahaja.

 

      Sesekali duduk bersembang di warung roti canai dengan pelajar-pelajar lain adalah penting. Ini kerana mereka inilah yang paling banyak menyimpan rasa tidak puas hati dan logik rasional yang boleh dijadikan perbandingan untuk memantapkan lagi organisasi kepimpinan. Penulis mengatak sedemikian kerana pentingnya perhubungan atau kemesraan dengan pelajar-pelajar lain. Apa tidaknya; mereka ini hanya sibuk memikirkan tentang isu-isu luar, tetapi rungutan daripada rakan-rakan mereka jarang dihiraukan. Kalau mereka setakat rapat antara mereka atau dengan kroni-kroni mereka sahaja, buangkan sahaja ‘title’ yang ada tu.

 

     Seterusnya mengenai imej. Kebanyakan pemimpin-pemimpin mahasiswa hari ini hanyalah bayangan daripada pemimpin-pemimpin yang telah sedia ada, malah ada yang melibatkan pihak luar ( pembangkang, kerajaan, NGO)

untuk kononnya memantapkan pentadbiran mereka. Ini membuktikan mereka ini seolah-olah tiada pendirian tersendiri dan sudah kekeringan idea untuk mengendalikan organisasi mereka dengan daya kekreatifan mereka.

Sekiranya ini berterusan, nilai kepimpinan mahasiswa akan menjadi kosong dan universiti akan dipenuhi dengan ‘pengampu-pengampu’ politik kampus.

 

     Secara kesimpulannya, kita memerlukan satu reformasi kepimpinan mahasiswa. Perubahan bukan setakat apa yang boleh dilihat, tetapi ia mestilah memenuhi kehendak semua pihak tanpa mengetepikan syariat Islam. Jadilah pemimpin yang kreatif, berwawasan dan menepati kehendak kepimpinan Islam. Marilah bersama-sama kita memikirkannya.

 

 

 

 

                                                                                   Diadaptasi dari artikel oleh sdr. Mizam Rahim

                                                                                   Majalah TAMADUN.