TAUHID RUBUBIYYAH

 

 

Beriman kepada Tauhid Rububiyah bererti mempercayai Allah sebagai "Rab" atau pencipta dan penguasa terhadap sesuatu.Ini juga mengimani bahawa tidak ada saingan dalam pemerintahannya. Allah adalah pemberi segala-galanya dan tidak sesiapa yang dapat melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan melainkan dengan izinnya,

 

Firman Allah:

 

"وإن يمسسك الله بضر فلا كاشف له إلا هو وإن يردك بخير فلا راد لفضله يصيب به من يشاء من عباده وهو الغفور الرحيم"

 

Ertinya: "Jika Allah menimpakan sesuatu

kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkan kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan kepadamu, maka tidak ada yang  dapat menolak kurnianya."

 

     ( Yunus : 107 )

 

 

Beriman dengan Tauhid Rububiyah juga beri'tikad bahawa Allah sahaja ialah Allah tuhan yang menciptakan alam, mentadbir, memilikinya, memberi rezeki, segala-galanya di   bawah pengetahuan, kehendak dan kebijaksanaannya yang tidak terhingga.

 

Fitrah insaniyah sudah sedia mengenali dan mengakui Rububiyah Allah.

 

Firman Allah:

 

"قل من يرزقكم من السماء والأرض أمن يملك السمع والأبصار ومن يخرج الحي من الميت ويخرج

 

 

الميت من الحي ومن يدبر المر فسيقولون الله قفل أفلا تتقون"

Ertinya: “Katakanlah:  Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertaqwa kepadaNya?

 

                                     (Yunus: 31)

 

Firman Allah Taala:

 

"ولئن سألتهم من خلقهم ليقولون الله فأنى يؤفكون"

Ertinya: “Dan jika kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah! Maka bagaimana mereka dapat dipalingkan”

 

                               ( Az- Zukhruf: 87) 

 

 

Firman Allah Taala :

 

"ولئن سألتهم من نزل من السماء ماء فأحيا به الأرض من بعد موتها"

Ertinya: “ Dan jika kamu menanyakan kepada mereka : siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu akan bumi sesudah matinya? Tentu mereka menjawab: Allah”

                               ( Al-Ankabut: 63)

 

Mereka menyedari dan mengetahui bahwa itu semua kepunyaan Allah, tetapi mereka tidak mahu menyerah diri kepada Allah.

 

Firman Allah Taala:

 

"وما يؤمن أكثرهم بالله إلا وهم مشركون"

 

Ertinya:” Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mmepersekutukan Allah (dengan yang lain).”

 

 

Maksud ayat itu ialah: Iman mereka dengan Allah hanya dengan berkata: “Allah yang menjadikan kita, memberi rezeki dan mematikan.” Iman yang disertai syirik dengan mengabdikan diri kepada yang lain

(riwayat dari Ibn Abas, Atha` dan Mujahid, diriwayatkan juga oleh ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim)

 

         Maka nyatalah bahawa orang-orang kafir juga percayakan Allah dan mengakui dari Rububiyyah sahaja di samping itu mereka patuh dan tunduk kepada yang lain daripada Allah. Orang-orang musyirikin, Yahudi dan Nasrani mengakui mereka menganut agama yang sama dengan nabi Ibrahim alaihissalatu wassalam, lalu Allah menurunkan firman-Nya:

 

"ما كان إبراهيم يهوديا ولا نصرانيا ولكن كان حنيفا مسلما وما كان من المشركين"

Ertinya: “ Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani tetapi ia seorang yang mengakui jalan yang lurus dan menyerah diri kepada Allah ( Islam) dan tidak sekali-kali dia dari golongan orang –orang musyirikin”

 

                                 ( Ali-`Imran: 67)

 

 

                 

Oleh kerana kesan fitrah inilah, walau sejauh mana sekalipun seseorang itu melafazkan keingkaran terhadap Rububiyah Allah, ketika dalam keadaan tersepit dia tetap akan kembali merayu kepada Allah.

 

Allah berfirman:

 

"وإذا غشيهم موج كالظلل دعوا الله مخلصين له الدين فلما نجاهم إلى البر فمنهم مقتصد وما يجحد بئاياتنا إلا كل ختار كفور"

 

Ertinya: "Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memumikan ketaatan kepadanya lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat- ayat kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar."

 

     ( Luqman : 32 )

 

 

 

Naluri semulajadi manusia untuk

berpegang kepada sesuatu ajaran berteraskan kepada Aqidah Tauhid ini dijelaskan oleh Al- Quran sebagai berikut:

 

Firman Allah:

 

"فأقم وجهك للدين حنيفا فطرت الله التي فطر الناس عليها لا تبديل لخلق الله ذلك الدين القيم ولكن أكثر الناس لا يعلمون"

Ertinya: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Deen (Allah), (tetapIah atas) fitrah Allah itu yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah  (itulah)   Deen yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

 

                    (Ar-Rum:30)

 

 

 

Daya memahami adanya Allah Yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia. Persoalanny a adalah sama ada fitrah ini dipupuk, diselewengi atau dibanteras. Sekiranya dibanteras insan tadi menzalimi diri sendiri dan hidupnya. Sekiranya terseleweng , akan songsanglah insan tadi

mengharungi hidup.

 

Sekiranya naluri ini dipupuk , dididik dan dipertingkatkan ketaqwaannya  natijahnya akan terpancarlah satu keyakinan yang bulat bahawa Allah sahajalah sumber cipta yang berhak menerima pengabdian yang penuh.