SEJARAH PERTEMBUNGAN
ISLAMIS-SEKULARIS
DI DUNIA ISLAM
Oleh:
Prof Madya Dr Mohamad Redzuan Othman
Sekular berasal daripada perkataan Latin
'saeculum' yang bererti 'suatu generasi atau zaman'. Dalam konteks barat dan dunia
Kristian sekular membawa maksud penolakan agama dalam urusan yang berkaitan
dengan keduniaan atau lebih jelasnya pemisahan antara agama dan negara. Agama
cuma dibataskan kepada urusan individu dan duniawi dan tidak mempunyai hubungan
dengan urusan politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Asas kepada sekularisme ialah politik
yang berteraskan kebangsaan, ekonomi bebas (laissez faire) dan budaya hidup
yang berlandaskan individualisme. Sekularisme menafikan aspek kehidupan yang
berkaitan dengan kerohanian dan menekankan kepada aspek-aspek kebendaan.
Sekularisme juga menafikan kewibawaan yang mempunyai unsur-unsur kerohanian.
Ini termasuklah penolakan kuasa mutlak Allah s.w.t. dan kewibawaan para nabi
dan rasul. Para sekularis menganggap agama adalah buatan manusia dan tidak
mengikut peredaran zaman.
Sejarah Kemunculan Sekularisme
Sekularisme lahior daripada pergolakan
yang berlaku dalam agama Kristian pada abad pertengahan. kemunculannya adalah
berikutan tindakbalas penganut agama tersebut terhadap kongkongan dan
penguasaan gereja ke atas masyarakat. Peperangan Salib telah membuka mata orang
Kristian Eropah terhadap perubahan, termasuk menuntut kebebasan daripada semua
bentuk kongkongan gereja yang selama ini hanya membenarkan ilmu-ilmu yang tidak
bercanggah dengan kepentingannya.
Melalui gerakan yang dilakukan, orang
Kristian Eropah berjaya memisahkan seluruh aspek kehidupan mereka daripada
pengaruh gereja. Kemajuan ilmu pengetahuan yang dicapai membolehkan mereka
menghasilkan kemajuan ekonomi dan politik. Sistem feudal yang diamalkan sebelum
ini digantikan dengan sistem kapitalis yang pada awal abad ke-20 turut membawa
kepada kemunculan Komunisme dan Sosialisme. Melalui pemisahan sepenuhnya antara
agama dan negara masyarakat moden yang dibentuk di Eropah dibina di atas asas
sekular.
Sekularisme dan Dunia Islam
Sekularisme merebak ke dunia Islam
melalui pertembungan dengan barat. Menjelang pertengahan abad ke-19, sebahagian
besar wilayah Islam dijajah oleh barat. Ini termasuklah penjajahan Inggeris di
Tanah Melayu (1874), Perancis di Tunisia (1881), Inggeris di Mesir (1882) dan
Rusia di Merv (1883).
Daulah Islamiyah yang masih mampu
bertahan ialah Daulah Uthmaniyah. Namun begitu, Daulah Uthmaniyah terpaksa
berhadapan dengan ancaman barat yang menggelar daulah tersebut sebagai 'orang
sakit Eropah'. Sebagai usaha untuk menghadapi ancaman ini, Daulah Uthmaniyah
telah mengambil nilai-nilai barat agar mampu menghadapi persaingan tersebut.
Ini termasuklah menghantar pelajar-pelajar Turki belajar di barat, memperkenalkan
sistem pendidikan barat, menerima sistem perundangan barat termasuk hak sama
rata antara orang Islam dan orang bukan Islam dan sebagainya.
Penerimaan unsur-unsur barat turut
membawa idea dan nilai barat ke dalam masyarakat Turki. Kemasukan unsur-unsur
ini merupakan permulaan kepada usaha-usaha ke arah memisahkan peranan agama
dalam pemerintahan. usaha-usaha ini dijuarai oleh pergerakan Turki Muda yang
kemudiannya berjaya menjatuhkan pemerintahan Sultan Abdul Hamid II pada tahun
1909. Pemerintahan Turki Muda selama lebih kurang satu dekad menyaksikan Daulah
Uthmaniyah hancur dan turki kemudiannya muncul sebagai sebuah negara sekular.
Peristiwa yang berlaku di Turki
meruapakn satu contoh bagaimana sekularisme berjaya merobohkan sebuah peradaban
yang dibina selama 600 tahun. Sekualrisme juga bertapak di negara-negara Islam
yang lain dan seterusnya berjaya mendominasi politik negara. Golongan sekularis
yang mengambil pelbagai bentuk seperti nasionalis sosialis, Baathis dan
sebagainya kini merupakan kelompok yang berjaya menguasai politik negara Islam.
Kejayaan yang dicapai oleh kelompok ini adalah hasil eksploitasi, tipu daya,
peranan kuasa barat dan juga akibat beberapa kelemahan kelompok Islam sendiri
sehingga menyebabkan mereka gagal dalam persaingan yang berlaku.
Konflik Sekularis-Islamis - Sorotan Kes
di Turki
Daulah Islamiyah merupakan salah satu
empayar yang teragung dlam sejarah manusia. Empayar ini berjaya bertahan selama
sekitar 600 tahun dan menguasai sebahagian besar tiga benua iaitu Eropah Timur,
Asia Barat dan Afrika Utara. Empayar ini hancur dalam tahun 1924 apabila Kemal
Ataturk mengujudkan sebuah negara Turki sekular. Bagi Kemal segala-gala yang
berunsur Islam dianggap penghalang kepada kemajuan. Kemajuan dikaitkan dengan
pembaratan yang mengamalkan nilai-nilai sekularisme. Sebagai melaksanakan
cita-cita ini Kemal cuba mensekularkan seluruh kehidupan masyarakat Turki yang
meangkumi aspek pendidikan, politik, ekonomi, nilai hidup dan sebagainya.
Pelaksanaannya termasuklah menghapuskan Islam sebagai agama rasmi negara,
menggantikan undang-undang Syariah dengan undang-undang barat, menggantikan
tulisan Arab kepada tulisan Latin, mengharamkan pemakaian purdah dan
berpuluh-puluh lagi peraturan yang bertujuan bagi memisahkan masyarakat daripada
ajaran Islam.
Kemal berjaya mewujudkan sebuah negara
Turki merdeka melalui dokongan yang diberikan oleh mereka yang berjuang di atas
landasan Islam. Malahan pada peringkat awal perjuangannya, Kemal menggunakan
platform Islam bagi mendapatkan sokongan. Beliau sering menaiki mimbar pada
hari Jumaat untuk menyampaikan khutbah. Umat Islam Turki terpedaya dengan sikap
kepura-puraan Kemal sehingga membolehkan beliau berjaya menguasai tampuk
kekuasaan Turki.
Bagi memastikan idealisme terus
berkekalan, Kemal menggunakan dua pendekatan iaitu pendekatan pendidikan dan
ketenteraan. Melalui pendidikan Kemal ingin memastikan bahawa generasi yang
dilahirkan dibentuk mengikut acuan sekularnya menakala melalui ketenteraan
Kemal ingin memastikan bahawa pelaksanaan mesti dijalankan walaupun melalui
paksaan atau kekerasan. Ternyata pendekatan yang dilakukan oleh Kemal ini telah
membentuk generasi yang amat tebal nilai-nilai sekularnya.
Walaupun Kemal telah membuat perancangan
dan pelaksanaannya, namun masyarakat Turki tidak dapat dikikis sepenuhnya
daripada nilai-nilai keislaman yang pernah diamalkan oleh nenek moyang mereka.
Sejak awal tahun 1970-an cahaya Islam mula menyinar di Turki. Melalui kegiatan
kepartian yang digerakkan oleh Neemettin Erbakan pengaruh Islan ternyata
berjaya menjadi unsur penting dalam politik Turki. Namun begitu untuk Islam
muncul sebagai kuasa dominan bukan suatu yang mudah kerana nilai-nilai
sekularisme telah berakar umbi dalam masyarakat Turki. Lebih-lebih lagi
nilai-nilai ini amat mendominasikan golongan elit, birokrat dan tentera.
Kemunculan kembali Islam sebagai unsur
penting dalam kehidupan masyarakat di Turki akan membawa kepada konflik dengan
golongan sekularis. Dalam pertembungan yang berlaku kelompok Islam telah
mengalami pelbagai tindakan seperti parti yang menjadi wadah diharamkan,
pelajar-pelajar yang bersimpati dengan Islam tidak dibenarkan meneruskan
pengajian, pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan Islam dipenjara atau dihalang
daripada menjalankan kegiatan politik.
Konflik Sekularis-Islamis - Sorotan Kes
di Mesir
Selapas Perang Dunia I, politik Mesir
telah didominasikan oleh Parti Wafd di bawah pimpinan Saad Zaghlul, seorang
lulusan Universiti Al-Azhar yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan daripada
penjajah Inggeris. Walaupun perjuangan Parti Wafd adalah atas asas-asas
kebangsaan, namun parti ini didokong oleh unsur-unsur Islam yang kuat. Selepas
kematian Zaghlul pada tahun 1927, Parti Wafd kehilangan arah dan terpaksa
berhadapan dengan pelbagai krisis yang melemahkan parti tersebut.
Sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an
politik Mesir semakin diwarnai oleh aliran politik yang berteraskan ideologi
yang jelas. Pada waktu inilah politik Mesir didominasikan oleh Ikhwan
al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna. Pada waktu ini Ikhwan
al-Muslimin telah memainkan peranan penting dalam menyemarakkan kesedaran
politik masyarakat, meningkatkan amalan spiritual melalui program usrah dan
tarbiyyah dan menggerakkan kemajuan melalui program ekonomi dan sosial.
Potensi Ikhwan al-Muslimin untuk muncul
sebagai kelompok yang bakal mendominasikan politik Mesir menghadapi cabaran
yang hebat apabila Hassan al-Banna mati syahid pada tahun 1949. Gabungan antara
kelemahan Ikhwan al-Muslimin sendiri menyelesaikan masalah dalamannya dan
pendekatan golongan sekularis yang ternyata lebih berjaya, membolehkan golongan
sekularis mendominasikan politik Mesir sehingga ke hari ini.
Pengalaman yang boleh dipelajari
daripada konflik sekularis-Islamis dalam kes yang berlaku di Mesir ini ialah
bagi golongan sekularis kuasa mesti diperolehi dengan apa jua cara sekalipun.
Walaupun golongan sekularis menunjukkan sikap yang berbaik-baik dengan golongan
Islamis, namun pendekatan ini adalah bersifat sementara kerana langkah itu
diambil dalam proses mengumpul kekuatan. Bagi golongan Islamis pula pendekatan
politik yang terlalu mempercayai pihak yang menjadi saingan juga membawa padah
yang buruk. Ini adalah kerana bagi golongan sekularis untuk mencapai matlamat
semua bentuk pendekatan boleh dilakukan termasuk menggunakan pendekatan yang
zalim bagi menghapus pengaruh golongan Islamis dalam masyarakat.
Konflik Sekularis-Islamis - Sorotan Kes
di Malaysia
Peranan golongan Islamis dalam
mencetuskan kesedaran pendidikan, sosial dan politik masyarakat Melayu tidak
diberikan perhatian yang sewajarnya dalam kajian sejarah di Malaysia. Sebelum
Perang Dunia II, kegiatan mencetuskan kesedaran di kalangan orang Melayu
didominasikan oleh mereka yang berpendidikan agama dan mendapat pendidikan di
Timur Tengah. Seawal-awalnya tahun 1911/12 pelajar-pelajar Melayu di Mesir
telah menerbitkan akhbar Ittihad yang bertujuan bagi menimbulkan kesedaran
orang Melayu terhadap kepentingan pendidikan dan membina peradaban bangsa. Pada
tahun 1925, pelajar Melayu di Mesir menerbitkan Seruan Azhar yang cuba menyeru
dan mendidik masyarakat supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain yang lebih
maju pada waktu itu.
Sebelum Perang Dunia II ternyata
golongan Islamis, terutamanya yang terpengaruh dengan idea-idea Islah telah
memainkan peranan penting dalam menggerakkan kesedaran masyarakat. Pendekatan
yang paling berkesan yang digunakan bagi menyebarkan idea-idea ini ialah
melalui penerbitan akhbar dan melalui institusi madrasah. Peranan yang
dimainkan oleh golongan Islamis bagi menyemai benih-benih kesedaran ini besar
implikasinya dalam sejarah perkembangan kesedaran Melayu. Namun begitu, tidak
seperti di Indonesia di mana golongan Islamis yang mendokong idea Islah telah
menubuhkan persatuan-persatuan seperti Sarekat Islam, Muhammadiah, PERMI dan
sebagainya, di Malaysia golongan Islamis tidak menjuruskan kegiatan mereka
kepada penubuhan persatuan. Persatuan yang dianggap mewakili perjuangan Islamis
iaitu Hizbul Muslimin hanya ditubuhkan pada tahun 1984 tetapi hanya mampu
bertahan beberapa bulan sahaja kerana diharamkan oleh pihak British.
Kekosongan yang wujud dalam perjuangan
kebangsaan Melayu berikutan tekanan yang dikenakan oleh pihak British telah
diisi oleh golongan nasionalis sekular yang muncul dan mengisi kepimpinan
Melayu. Golongan ini mendapat pendidikan barat dan ketika menuntut di London
terpengaruh dengan nilai dan budaya barat.
Apabila Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957, golongan nasionalis sekular mendominasikan
politiknya. Walaupun Islam tidak disisihkan sepenuhnya dari masyarakat, namun
pelaksanaan Islam sepenuhnya juga tidak dilakukan. Islam dilaksanakan sebagai
simbol. Walaupun Parti Islam wujud, namun kewujudannya lebih bersifat untuk
menyaingi parti nasionalis. Bahkan dalam kes-kes tertentu Parti Islam
memperlihatkan sikap lebih nasionalis bagi meraih simpati pengundi.
Pertembungan sebenar antara sekularis
dengan Islamis di Malaysia berlaku apabila Islam cuba diamalkan sebagai ad-Din
dan digerakkan sebagai satu gerakan. Ini menjadikan pertembungan antara
golongan nasionalis dan Islamis sebagai pertembungan ideologi dan menjadi lebih
sengit. Pertembungan ini nampak seolah-olah reda berikutan peristiwa tahun
1982. Tetapi hakikat sebenar bagi golongan nasionalis sekular, 'setback' yang
berlaku tidak melemahkan semangat malahan melakukan perancangan yang lebih rapi
bagi mempastikan golongan Islamis tidak beroleh kekuasaan. Peancangan mereka
membuahkan hasil kerana pada tahun 1998 dan seterusnya dilakukan kegiatan
pembersihan berjaya dilakukan secara drastik dan halus.
Dalam menyorot kembali kejayaan dan
kelemahan golongan Islamis di Malaysia bagi tempoh 1982-1998 beberapa
pengalaman mungkin boleh dipelajari. Bagi golongan sekularis baik di Timur
Tengah mahupun di Malaysia terdapat satu persamaan ciri. Bagi golongan
sekularis matlamat menghalalkan cara dan tidak ada belas kasihan dalam proses
merebut kuasa daripada golongan Islamis. Bagi golongan Islamis pula dalam
tempoh ini ternyata sekali sikap yang ditunjukkan amat berkonflik antara satu
sama lain. Atas sikap 'kerana prinsip' rakan-rakan seperjuangan cenderung
diketepikan dan golongan lain termasuklah golongan sekularis diberi tempat atas
alasan 'untuk dimenangi'. Kesempatan yang ada tidak digunakan dengan
sebaik-baiknya dan sepenuh-penuh untuk kepentingan Islam tetapi sebaliknya
turut diwarnai oleh agenda politik. Bagi golongan nasionalis sekularis pula
apabila mendapat peluang seluruh kesempatan digunakan bagi memastikan dominasi
berterusan dan berakar umbi.
Dalam sejarah konflik sekularis-Islamis
dalam konteks perkembangan politik Islam kontemporari, kecuali Iran dan Sudan,
golongan Islamis ternyata kurang unggul dalam menghadapi percaturan politik
yang berlaku. Dalam konteks Iran, golongan Islamis berjaya kerana belajar
daripada pengalaman tahun 1881, 1906 dan 1953 di mana sikap kompromi dengan
golongan sekularis berakhir dengan sumbangan golongan Islamis ini tidak
dihargai.
Pada tahu 1979, golongan
Islamis Iran mengambil sikap tidak bersedia untuk berkrompomi dengan mana-mana
kumpulan sekularis dan ini membolehkan kuasa terus dibolot oleh kelompok
Islamis. Di Sudan pula, kelompok Islamis menggunakan pendekatan pragmatis bagi
membolehkan mereka mengambil alih kuasa. Apabila memperolehi kuasa pendekatan
yang dilakukan ialah dengan memastikan kekuatan dikukuhkan di semua sektor.
Mungkin pengalaman kedua-dua kelompok Islamis ini boleh dijadikan asas kepada
usaha memastikan usaha-usaha golongan Islamis berakhir dengan memperolehi kuasa
yang mantap.