DEFINISI
KAUNSELING
Puan Asmah Bee
Mohd Noor
Fakulti
Psikologi UKM
Kaunseling merupakan suatu
konsep yang telah di ketahui umum khususnya di kalangan masyarakat maju.
Semakin majunya kehidupan ahli dalam sesebuah masyarakat, semakin meningkat
pula masalah-masalah yang harus di tempuhi oleh ahli-ahlinya.
Kebanyakan individu apabila
diminta untuk mentakrifkan tentang kaunseling akan menyatakan bahawa kaunseling
adalah satu proses pertemuan di antara seorang kaunselor dengan individu yang
ingin diberikan bantuan. Dengan lain perkataan, kaunselor ialah individu yang
khusus bertugas secara terarah atau sukarela untuk memberikan pertolongan
kepada orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh klien
(orang yang datang berjumpa denga kaunselor). Definasi yang di berikan ini
terlalu umum.
Untuk pemahaman dengan
lebih jelas lagi tentang definisi kunseling, dipetik tiga definisi yang telah
dibuat oleh tiga tokoh iaitu Blocher (1974); Corey (1977) dan James (1982).
Blocher (1974) mendefinasikan
kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih
sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam
persekitarannya. Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang
proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri
dan kehidupannya yang menimbulakn masalah pada dirinya. Akhir sekali James
(1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang
lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya,
membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu.
Ketiga-tiga definasi yang di
pilih ini memberikan penekanan kepada proses untuk menolong, menyedarkan
individu tentang dirinya dan suatu proses pembelajaran individu untuk mencapai
tingkat kesejahteraan dalam kehidupan yang dilalui.
Konsep atau definasi
kaunseling mengikut perspektif Islam didapati lebih luas dan lebih
komprehensif. Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa kaunseling
merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang
mempunyai masalah psikologikal dengan seorang kaunselor terlatih untuk membantu
klien bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Kaunseling Islam mempunyai liputan
skop masalah yang lebih besar iaitu yang berkaitan dengan keimanan seseorang
seperti aspek ketuhanan, alam akhirat, dosa, pahala, neraka, hari kiamat dan
sebagainya.
Mengikut ajaran Islam, kaedah
kaunseling ini adalah suatu amalan asas yang perlu dipergunakan dalam
perhubungan sesama manusia. Amalan nasihat-manasihati dan menjauhi tindakan
yang bertentangan dengan ajaran Islam merupakan asas dalam didikan Islam.
Walau apapun definasinya,
pertemuan antara kaunselor dan klien dalam beberapa sesi kaunseling talah dapat
mencapai alternatif terbaik untuk individu mengatasi masalah yang dihadapi agar
dirinya dapat berfungsi dengan lebih berkesan di alam persekitarannya.