KENAKALAN REMAJA DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM
Oleh: Ghafani bin Awang Teh
Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah
merujuk kepada perbuatan dan aktiviti remaja yang berlawanan dengan norma-norma
masyarakat, undang-undang negara dan agama, seperti mencuri, merompak, merogol,
berzina, membunuh, menagih dadah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan
seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana remaja dianggap belum
matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah yang mereka lakukan tidak dikenakan
hukuman berat. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka ialah remaja itu
ditempatkan di pusat-pusat pemulihan akhlak dan diberi pendidikan khas.
Ahli-ahli sains sosial berbeza-beza pendapat
tentang had umur remaja. Ada yang mengatakan alam remaja di antara 10 – 18
tahun atau 13 tahun – 12 tahun. Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat
membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur
tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak
mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib
melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya. Lingkungan
baligh ialah mencapai umur 15 tahun atau kanak-kanak lelaki sudah bermimpi
bersetubuh dan kanak-kanak perempuan pula telah keluar haid dalam tempuh umur
antara 9 hingga 15 tahun.
TEORI TABIAT MANUSIA
Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai
teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Corey (1986) menyatakan
beberapa teori penting yang menjelaskan tentang tabiat itu ialah:
Pertama: Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh
Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana
dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak
rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival
perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara
membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa
kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan
penentu tabiat anak pada masa hadapan.
Kedua: Teori Analisis Transaksi: Teori ini
menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan
oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja
percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik
akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau
menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya
dan pengaruh persekitaran.
Ketiga: Teori Behaviorisma: Menurut teori ini
tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran
dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka
menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka
sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.
Keempat: Teori Pemusatan Klien: Teori ini
membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional,
bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun
manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai
kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan
seumpamanya.
Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling
barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka
mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor
persekitaran, proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani.
Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran dan kajian itu
dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat.
Sebagai contoh, walaupun pendapat Frued dikritik
hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya adalah berkaitan dengan perasaan
nafsu Ammarah yang mewakili unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia.
Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi
(1976) menyatakan: terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat
manusia iaitu:
a. Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong
manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak
merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan
kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan,
ia tidak gembira.
b. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan
kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar
untuk memulakan kehidupan yang positif.
c. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima
kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci
kepada kejahatan.
d. Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai
kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan
dan ketaqwaan dalam dirinya.
Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua
keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu).
Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi
hati manusia.
Seorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu
Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga
peringkat tabiat manusia.
a. Manusia yang baik tabiatnya. Manusia yang
baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat;
b. Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi
baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.
c. Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya.
Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung
kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.
Konsep Diri Remaja
Kadangkala ibu bapa mengambil sikap lepas tangan
dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlaku begitu sahaja tanpa
mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu
mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak
menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak
dan tidak juga orang dewasa.
Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam
dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka
akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses
menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers (1985) menyatakan antara
perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:
a. Perubahan pada fizikal
Bagi anak lelaki didapati mengalami perubahan
jelas pada jasmani di mana anggota badan kelihatan mula gempal, sasar, dan
tegap. Manakala si gadis pula mula menampakkan sifat-sifat kewanitaannya
seperti datang haid, buah dada membesar, pinggang mula ramping dan punggung
melebar. Apabila sampai pada peringkat akhir remaja simbol-simbol daya tarikan
seks mula kelihatan dan diiringi juga rangsangan seksual yang mula meningkat.
b. Perubahan Emosi dan Fikiran
Di peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak
lelaki setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak
skrip hidup hariannya ditentukan oleh ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka
dibuat secara spontan tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak
melangkah ke alam remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji
skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan
dunia kehidupan orang dewasa yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan
fikiran ini menimbulkan kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka
tidak mampu dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya.
Keadaan ini menimbulkan konflik nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa
gembira dan kadangkala kesunyian, berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan
cenderung mencontohi dalam pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara
bergaul dan cara berfikir. Orang yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan
terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular, pelawak, tokoh ulamak, tokoh
politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung kepada pendedahan dan
pengajaran yang diterima oleh remaja itu.
c. Narcisma
Narcisma adalah merujuk kepada ketagih cinta dan
ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada masa
kanak-kanak, perasaan cinta dan dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu
bapa atau keluarga. Apabila anak itu mencapai remaja, perasaan narcisma ini
memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat
kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial
yang sesuai.
Narcisma amat kuat wujud pada gadis remaja
kerana perempuan dari segi biologinya bersifat pasti di mana ia memerlukan
seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar dari rasa kesunyian itu.
Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar
pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu
terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja lelaki yang sebaya
dengan umurnya.
Jika narcisma ini digunakan secara positif maka
remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain.
Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri
yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan
memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti menghisap dadah,
mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan seumpamanya.
Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih
mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.
d. Menyertai Kumpulan
Perubahan emosi dan fikiran remaja telah
mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka
memperluaskan rakan sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau
membentuk kumpulan baru berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup
yang sama atau taraf sosial yang sama.
Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja
mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang
pelik, tertarik dengan aktiviti yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja
dalam kelompok sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan yang
sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam
kelompok itu disalahgunakan, maka ia akan mengheret remaja berkenaan dalam
aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang negara.
Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa
sering mempunyai pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam
usaha memberi bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.
e. Menentang Kekuasaan
Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa
masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk
berdikari dan bebas dari kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa
kuasa yang ada pada ibu bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang
boleh menghalang pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya
hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan
kerana remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang
telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan
menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan kejahatan
untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih tua bahawa mereka boleh
berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa lakukan.
Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula
sejak anak masih kecil lagi tetapi pada masa remaja mula kelihatan menonjol
kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil
daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan
persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri kerana
pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami
perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan
lancar, tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan
hidupnya akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.
Faktor Kenakalan
Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan
teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan
kepada empat faktor:
Pertama : Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak
kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini
menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu
bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga.
Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan
besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu
pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif
di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan
maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau
pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai
berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor.
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada
seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah)
seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah
dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh
naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil
daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang
kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak
itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah
terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
Ketiga : Faktor sekolah.
Sekolah merupakan tempat memberi
pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah
yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan
pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang
dihadapi oleh murid-murid.
Keempat : Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran adalah merujuk kepada
peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan
pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.
Aktiviti faktor persekitaran yang boleh
merosakkan akhlak manusia ialah:
i) Persembahan konsert rock
ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur
seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan
ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
Rawatan Kenakalan
Persoalan yang timbul kepada ibu bapa atau pihak
berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah terbaik yang digunakan dalam Islam bagi
mengatasi kenakalan di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah
telah menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu manusia
supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam diturunkan adalah untuk
membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan kesinambungan fitrah
kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah).
Allah telah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia
dalam bentuk yang sebaiknya.”
(Surah Al-Tiin:4)
Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah
s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Setiap anak yang dilahirkan adalah putih
bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk meyahudikannya atau
menasranikannya atau memajusikannya.”
(Riwayat Bukhari)
Sejarah Rasulullah s.a.w. membebaskan
penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan belenggu nafsu kehaiwanan
memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak manusia. Antara
kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan
kemahiran keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:
PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati
Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri
manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk
mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi
hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai
Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. Manakala Frued dalam teori
kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia dikenali sebagai ‘Super
ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang
bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk,
betul atau salah.
Penemuan Frued itu adalah menyokong
pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat
seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka
rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada
yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah
mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu
menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan
Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan
mempengaruhinya. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran
(Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan
baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu
temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)
Ternyata bahawa pendidikan hati secara
berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya
bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa orang yang
bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).
Zikir-zikir yang paling baik diamalkan
ialah lafaz:
a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim
Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai
“Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di
akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan
dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibubapa,
memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji
yang lain.
KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat Khusus
Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa,
zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan
menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini,
sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia.
Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah
seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)
Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah
berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman
iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)
Ibadat sembahyang dianggap senjata
terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan berikut:
a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah
sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain
hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;
b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang
adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan sembahyang bererti orang
lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi
ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.
c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah
akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersembahyang
bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan
masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah anak
itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.
d. Sembahyang adalah sebahagian daripada
zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa
sama ada kita sihat atau sakit.
KETIGA: Kaedah Qiyamullail
Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan
ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan
ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran
dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu
melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan
ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh
dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada
Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat
menghalaukan penyakit dari badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Melalui penjelasan di atas menunjukkan
program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk
menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian
dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk
(hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Bukankah Aku Tuhan kamu”
Roh-roh manusia menjawab:
“Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi
saksi.”
(Surah Al-A’raf:172)
Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia
wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana itulah cara untuk meletakkan
taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah mensifatkan
manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah sama
seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan)
Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu
mereka tidak (mahu) beriman.”
(Surah Al- Anfaal: 55)
Kemahiran Keibubapaan
Al-Quran dan Hadis telah memberi garis
panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak.
Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga,
mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan
kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:
a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga
kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan
digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)
c. Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan
tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu
bapanya.
(Surah Al-Baqarah:233)
d. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin
yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan
berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)
Berdasarkan pandangan Islam dan pendapat ahli
psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan yang perlu dikuasai oleh ibu
bapa ialah:
a. Model Ibu
bapa Yang Salih
Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu
bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model
terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983)
menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama
yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman
jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara
membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun,
amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya,
bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama
tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka
lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga
lemah.’
Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang
cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara
sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah
menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah
ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak
menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatihkan anak
mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong, beramah, jujur,
menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu,
membuat kebajikan dan sebagainya.
b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang
Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk
melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah
bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang
mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana
perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan
harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih
sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih
merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu
perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang
sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha
memperkukuhkan tingkah laku positif.
c.
Terima Anak Tanpa Syarat
Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib
memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau
anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan
kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan
nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu
bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu
bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah
kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak
tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa;
ii) Minta si anak memberi penerangan dan
penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku;
iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan
anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti
masalah yang dihadapi oleh anak;
iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri
bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk
melaksanakannya; dan
v) Jika didapati anak telah celik akal atau
menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau
bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.
d. Memenuhi
Masa Lapang Bersama Anak
Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan
sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran
Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan
disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih
sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain
bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih
sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan
terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang
berjemaah, makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan
sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah
ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.
e. Peka terhadap Pergerakan Anak
Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan
anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan
anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:
i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;
ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan
fizikalnya;
iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti
keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;
iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik
dan buruk;
v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa
atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan
vi. Keupayaannya untuk berdikari.
Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai
supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.
f. Jangan Salah
Guna Kuasa
Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak
memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga.
Dalam pergaulan seharian, kadang kala
timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba
mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa
perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia
bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu
bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah
secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan
kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa
kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.
g. Kesabaran
Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa
ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai
personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah
dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan
memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda
beriman.
Silap Memberi bimbingan Dan Kaunseling
Abu Said al-Khudri meriwayatkan satu kisah
yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu
kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai
99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan hukum
bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa
dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta
itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan
mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling alim
dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih
bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong
Anu kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka
dan jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”
Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu.
Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu
Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau
jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat
Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun malaikat
lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung asalnya
dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan
kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.
Isu penting dalam kisah ini ialah:
a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi
perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak
emosinya atau perasaan marahnya;
b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang
beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan
c. Taubat orang tersebut diterima Allah.
Hidayah Allah
Hidayah Allah adalah juga faktor penting
mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal
memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal
memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk
kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah
jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat
hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)
Walau bagaimanapun kita lihat Saidina Umar
berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat al-Qur’an, walhal Umar
sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya.
Manusia adalah sebaik-baik kejadian,
berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan pemikiran baik,
maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan
salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang
itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah jalan
pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah.
Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk
mendapatkan petunjuk Allah selain daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.
Penutup
Mendidik dan membimbing anak bukanlah
perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam
membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan
kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil
lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat
apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam
menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang
kukuh, maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya
atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh
itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak
seperti yang diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana
mementingkan pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian
manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah
semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya.
Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk
menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.