Punca Tekanan Hidup

1. Kekecewaan

Kekecewaan boleh didefinisikan sebagai perasaan yang timbul apabila kita gagal memperolehi sesuatu keinginan disebabkan sesuatu halangan. Satu kekecewaan mungkin tidak akan menyebabkan tekanan tetapi apabila berlaku kekecewaan berulangkali, ianya akan menyebabkan kita merasa tertekan. Secara amnya, terdapat lima bentuk halangan yang boleh menyebabkan seseorang itu merasa kecewa iaitu:

a. Kelewatan iaitu berkaitan usaha mencapai sesuatu matlamat. Contohnya, seorang yang masih gagal mendapat pekerjaan akan rasa kecewa apabila kawan-kawannya telah mendapat pekerjaan.

b. Kekurangan sumber, juga berkaitan dengan usaha untuk mencapai sesuatu. Contohnya, seseorang yang ingin membeli sebuah kereta tetapi terpaksa dipendamkan dahulu hasratnya disebabkan masalah kewangan.

c. Kegagalan iaitu dalam segenap bidang yang diceburi samada pendidikan, percintaan, pekerjaan, perkahwinan malah apa sahaja yang boleh mengancam harga dan nilain diri.

d. Kehilangan sesuatu atau seseorang yang amat disayangi dan dihargai. Contohnya kematian suami/ isteri, ibu bapa, kehilangan kereta dan lain-lain.

e. Kesunyian: Kesunyian dalam konteks bersendirian ataupun dalam konteks kumpulan merupakan punca kekecewaan yang penting. Setiap individu memerlukan individu lain untuk interaksi dan komunikasi bagi mencapai keharmonian hidup. Sekiranya keperluan asas ini tidak dipenuhi dan dicapai, individu tersebut akan mengalami kekecewaan.

Setiap satu bentuk atau gabungan bentuk-bentuk di atas boleh menyebabkan tekanan dan kebiasaannya tekanan ini akan sukar dihadapi secara bersendirian tanpa bantuan luar.
 

2. Konflik

Konflik akan berlaku apabila dua atau lebih motif tidak dapat dipuaskan kerana yang satu itu mengganggu yang lain. Contohnya, kita mempunyai sejumlah wang dan kita ingin membeli beberapa jenis barang. Jumlah wang yang kita miliki adalah tidak mencukupi untuk mendapatkan barang-barang yang kita kehendaki dan memaksa kita membuat pilihan. Kita akan menghadapi konflik sekiranya kita gagal memutuskan untuk membeli barangan yang paling utama dan diperlukan.

Terdapat empat bentuk konflik yang diklasifikasikan mengikut nilai ganjaran atau hukuman terhadap pilihan-pilihan yang dihadapi oleh seseorang individu.

a. Konflik mendekat-mendekat (+ +) yang berlaku apabila terdapat dua matlamat yang menarik perhatian seseorang dan kedua-dua matlamat itu amat diperlukan. Tetapi, keadaan menetapkan individu itu hanya boleh memiliki satu matlamat sahaja, maka konflik akan berlaku. Contohnya, kita mendapat dua tawaran kerja yang setanding, bersesuaian dan memenuhi kriteria pilihan kita. Dalam membuat keputusan memilih satu antara dua, kita akan mengalami konflik.

b. Konflik menghindar-menghindar ( - - ) iaitu apabila terdapat dua pilihan matlamat dan kedua-duanya tidak kita gemari. Namun, kita tetap perlu membuat keputusan untuk memilih satu daripadanya. Contohnya, kita mengalami sakit gigi, dalam masa yang sama kita amat takut untuk berjumpa doktor. Maka, di sini kita tetap perlu memilih untuk membiarkan gigi kita terus sakit atau pergi berjumpa doktor.

c. Konflik mendekat-menghindar ( + - ), berlaku apabila kita berhadapan dengan suatu matlamat yang amat kita ingini tetapi dalam masa yang sama, matlamat tersebut juga merupakan sesuatu yang ingin kita jauhi. Dalam situasi sebegini, sekiranya kita berada jauh daripada matlamat maka kecenderungan kita ialah untuk berusaha kuat mencapai matlamat. Sebaliknya, apabila kita semakin hampir mencapai matlamat, kita akan lebih cenderung untuk menjauhinya. Sebagai contoh, individu yang akan berkahwin akan mula merasa tidak bebas dan terpaksa memikul tanggungjawab yang berat dan tidak pernah dilakukan sebelum ini, tetapi masih berkeinginan untuk menikmati hidup bersama pasangan pilihannya.

d. Konflik mendekat-menghindar ganda dua ( + - + - ), iaitu apabila seseorang itu mengalami dua konflik mendekat-menghindar pada satu masa yang sama. Individu ini akan berhadapan dengan dua matlamat dan pemilihan matlamat tersebut akan menyebabkan konflik. Contohnya, anda sekarang bekerja di satu tempat yang agak selesa dan memuaskan hati anda tetapi anda mendapat pendapatan yang rendah berbanding dengan satu tawaran kerja yang memberikan pendapatan lumayan tetapi anda terpaksa berpindah jauh daripada tempat anda sekarang. Anda akan menghadapi konflik apabila terpaksa memilih untuk terus bekerja di tempat yang sama dengan gaji yang rendah ataupun mendapat gaji yang lebih tinggi di tempat kerja yang anda tidak pasti keselesaaannya dan memerlukan anda menyesuaikan diri dengan situasi yang baru.

* akan datang: lagi punca tekanan hidup iaitu emosi, masalah keluarga, tekanan sosial, kerjaya dan penggunaan bahan penenang.

Disediakan oleh Unit Motivasi dan Kaunseling, RDS Mawaddah Consultancy Centre